Krim Pelembab - Kenali Bahan-Bahannya
- Abam Peah
- Sep 11, 2022
- 3 min read
Updated: Jan 12, 2023
Tidak dinafikan bahawa ramai lagi di luar sana yang lebih memilih untuk tidak menggunakan krim pelembab.
Mungkin mereka menganggap bahawa krim pelembab akan menyebabkan muka mereka bertambah berminyak, dan hanya menggunakan pencuci muka untuk menghilangkan minyak.
Ataupun mereka masih keliru untuk memilih pencuci muka yang tepat untuk mereka gunakan.
Namun adakah anda tahu, dengan membuang minyak dengan terlalu kerap boleh menyebabkan kulit muka hilang kelembapan dan menyebabkan kulit anda cuba mengimbangi keadaan ini dengan menghasilkan minyak berlebihan.
Jadi kulit anda akan bertambah berminyak!
Untuk memilih krim pelembab yang betul, langkah pertama yang anda boleh buat adalah dengan mengenali dulu bahan-bahan yang ada dalam krim pelembab dan kegunaan mereka.
Barulah senang nak pilih produk yang sesuai dengan kulit anda.
.
Bahan Dalam Krim Pelembab - Humektan
.
Humektan adalah bahan yang digunakan dalam krim pelembab untuk menarik air atau kelembapan daripada lapisan tengah kulit yang dipanggil dermis ke lapisan atas kulit epidermis.
Ini akan mengekalkan kelembapan kulit dan membuatkannya kekal anjal.
Apabila persekitaran anda mempunyai lebih daripada 70% nilai kelembapan, humektan juga boleh menarik air daripada udara ke lapisan epidermis.
Terdapat beberapa jenis humektan yang sering digunakan dalam krim pelembab di pasaran.
.
1. Gliserin
.
Bahan ini biasanya diperolehi daripada minyak sayuran dan merupakan bahan humektan yang paling banyak digunakan dalam produk krim pelembab.
Ia sangat berkesan sebagai humektan, namun cepat rosak apabila banyak terdedah kepada haba dan kelembapan.
.
2. Asid hyaluronik
.
Sebatian ini juga dihasilkan secara semulajadi dalam kulit anda dan boleh menghidrasi semua jenis kulit tanpa berminyak.
Namun begitu, asid hyaluronik boleh menyebabkan kulit kering untuk sesetengah individu terutamanya dalam iklim kering.
.
3. Sorbitol
.
Bahan ini adalah gula alkohol yang digunakan sebagai pemanis tiruan yang turut mempunyai sifat humektan dan antibakteria yang kuat.
Ia juga boleh menyebabkan kekeringan sama seperti asid hyaluronik.
.
4. Urea
.
Bahan ini merupakan komponen untuk Natural Moisturizing Factor (NMF) atau faktor pelembab semulajadi yang mana bertindak sebagai pengelupas (exfoliant) dan humektan yang kuat.
Namun urea juga boleh menyebabkan iritasi pada kulit sensitif.
.
5. Asid alfa-hidroksi
.
Ini adalah sekumpulan sebatian yang diperlohi daripada makanan seperti sitrus, tebu dan buah epal.
Untuk sesetengah individu terutamanya mereka yang berkulit cerah, asid alfa-hidroksi ini boleh menyebabkan kulit mereka lebih sensitif terhadap cahaya matahari.
.
.
Bahan Dalam Krim Pelembab - Oklusif
.
Bahan oklusif adalah sekumpulan agen yang meningkatkan kandungan air kulit dengan melambatkan proses penyejatan.
Bahan ini biasanya sedikit berminyak dan paling berkesan apabila digunakan pada kulit yang lembab.
Terdapat beberapa jenis oklusif yang digunakan dalam produk krim pelembab dan mereka mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.
.
1. Jeli petroleum
.
Turut dikenali sebagai paraffin, bahan ini sangat berkesan untuk mengekalkan kelembapan kulit dengan menghalang kulit daripada terdedah kepada udara.
Dalam masa yang sama, ia boleh membuatkan kulit anda tampak dan rasa berminyak.
.
2. Minyak mineral
.
Bahan ini diperbuat daripada petroleum tulen ditapis dan sering digunakan dalam produk krim pelembab disebabkan teksturnya yang sesuai.
Namun ia tidak begitu berkesan untuk menghalang penyejatan seperti bahan oklusif yang lain.
.
3. Lanolin
.
Bahan berlilin ini dihasilkan daripada bulu biri-biri dan berkesan untuk mengekalkan kelembapan kulit.
Namun ianya agak mahal dan boleh menyebabkan iritasi pada kulit dan alahan pada sesetengah individu.
.
4. Derivatif silikon
.
Sebatian buatan manusia ini mempunyai tekstur yang tidak begitu berminyak namun mempunyai kesan melembab yang terhad.
Ia sering digunakan bersama jeli petroleum untuk membuatkannya rasa kurang berminyak.
.
Bahan Dalam Krim Pelembab - Emolien
.
Emolien merupakan agen yang kekal dalam stratum korneum iaitu lapisan paling luar kulit dan berfungsi sebagai pelincir untuk mengekalkan kelembutan dan keanjalan kulit.
Emolien kebanyakannya diperbuat daripada minyak dan sebatian lemak yang dikenali sebagai lipid.
Emolien juga boleh “mengisi jurang” antara sel-sel kulit yang telah separa mengelupas dalam stratum korneum dan memberikan kulit tekstur yang lebih penuh dan licin.
Berikut adalah jenis emolien yang biasa digunakan dalam krim pelembab.
.
1. Isopropil palmitat
.
Cecair ini tidak berwarna dan hampir tidak berbau, ia diperbuat daripada minyak kelapa sawit dan/atau lemak haiwan.
Walaupun berkesan, ia agak pekat dan boleh menutup liang pori, meningkatkan risiko jerawat.
.
2. Asid stearik
.
Bahan yang diperbuat daripada pelbagai lemak tumbuhan dan binatang ini adalah komponen utama mentega koko dan mentega shea.
Ia selamat digunakan oleh kebanyakan individu, namun boleh menyebabkan iritasi kulit dan alahan pada sesetengah individu lain.
.
3. Asid oleik
.
Asid oleik diperolehi daripada minyak zaitun dan minyak sayuran lain.
Ia berkesan sebagai bahan emolien, namun penggunaannya yang berterusan boleh menjejaskan pertahanan kulit dan menyebabkan iritasi.
.
4. Asid linoleik
.
Bahan ini dihasilkan daripada minyak sayuran dan merupakan komponen penting untuk seramid, iaitu salah satu elemen pelembab utama kulit anda.
Bahan ini bertindak lembut pada kulit, namun kurang efektif untuk kulit berjerawat jika dibandingkan dengan asid oleik.
.
Kesimpulan Bahan Krim Pelembab
.
Kebanyakan krim pelembab akan mengandungi 3 bahan penting iaitu humektan, oklusif, dan emolien.
Masing-masing mempunyai fungsi yang penting untuk membuatkan kulit kekal lembab dan terhidrat.
Sesetengah krim pelembab juga mempunyai antioksidan untuk mengatasi masalah akibat pengoksidaan.
Sampai di sini sahaja perkongsian kami pada kali ini. Semoga info yang dikongsikan ini dapat memberi banyak manfaat kepada anda.
Khas buat anda yang ingin menghasilkan produk jenama sendiri, team Abam Peah ada sediakan 30 minit konsultansi percuma. Nak tanya apapun, tanyalah. Team Abam Peah akan cuba bantu anda dengan sebaiknya.
Untuk informasi lanjut, anda boleh klik button di bawah.

Comments